Wednesday, April 29, 2009

jati diri remaja

Dengan konsep langit terbuka dan dunia tanpa sempadan (borderless world) pengaruh negatif datang bertali arus dan jati diri para remaja merosot dengan teruknya. Mereka hilang ketahanan jiwa. Mereka mudah terpengaruh dan terjebak dengan segala macam kerosakan, maksiat dan budaya kuning. Mereka mudah hanyut mengikut arus. Mereka tidak ada pegangan dan pendirian.Mereka tidak mampu menangkis pengaruh yang jahat dan merosakkan. Mereka sukar membezakan yang baik dengan yang buruk. Selalu sahaja mereka terpengaruh dan terjebak dengan yang jahat dan buruk.

Fenomena ini ada kaitannya dengan JATI DIRI yang semakin terkikis dari kehidupan remaja hari ini. Mari kita soroti apa yang dimaksudkan dengan JATI DIRI itu.

ULASAN

Jati diri ini adalah istilah baru. Dahulu, istilah ini tidak ada digunakan. Ramai orang merasakan mereka faham apa maksud jati diri tetapi kalau di-minta untuk menerangkannya, mereka kurang yakin. Ramai orang keliru dengan istilah jati diri ini.

Maksud jati diri ini terpulang kepada fahaman orang yang menyebutnya. Bagi orang akal, jati diri ini ialah keteguhan, ketahanan dan kekuatan fizikal dan mental. Bagi orang akal, jati diri ialah fizikal dan mental yang tahan dan lasak. Kedua-dua kekuatan ini dikatakan perlu untuk mencapai segala cita-cita dalam hidup yang mencakupi berbagai bidang.

Jati diri bagi orang agama atau orang rohani lain pula maksudnya. Jati itu pada bahasa membawa maksud murni. Dalam konteks ini, ia juga membawa maksud keteguhan seperti kayu jati yang kuat dan teguh hingga boleh diukir tanpa ia patah. Kayunya pun tahan lama, tidak lapuk dan tidak dimakan anai-anai atau bubuk. Perabot yang diperbuat dari kayu jati tahan dan boleh digunakan turun temurun.

Diri itu bukan pula fizikal atau mental (akal) manusia sahaja. la adalah hakikat diri manusia itu sendiri iaitu hatinya atau jiwanya atau rohnya. Yang dikatakan diri manusia itu ialah hatinya. Oleh itu, bagi orang agama, jati diri itu bermaksud keteguhan atau ketahanan hati atau keteguhan jiwa. Inilah maksud jati diri yang sebenarnya.

Oleh itu, jati diri yang sebenarnya seperti yang difahami oleh orang agama bukan sahaja setakat kekuatan fizikal dan mental. la termasuk juga keteguhan hati, roh atau jiwa. Jati diri bagi orang agama bertujuan untuk meneguh dan menguatkan jiwa supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang melalai dan merosakkan. la bertujuan untuk mencapai kemurnian hati demi untuk menempah kejayaan dan keselamatan di dunia dan di Akhirat.

Orang yang mempunyai jati diri ialah orang yang kuat rasa bertuhan dan kuat berpegang kepada agama. Dia tegas dan berprinsip. Sentiasa di atas jalan yang benar dan lurus. Dia tidak mudah terpengaruh dengan keadaan dan suasana yang rosak.

Jati diri yang sebenar adalah ketahanan hati bukan kekuatan fizikal ataupun kekuatan mental semata-mata. Jati diri adalah kekuatan jiwa dan keteguhan hati. la adalah ukuran kekuatan seseorang manusia. Tanpa jati diri bererti tidak ada ketahanan jiwa. Jiwa jadi rapuh, reput dan lemah. Jiwa akan diserang dan dihinggapi oleh berbagai-bagai penyakit. Sifat-sifat dan pengaruh yang negatif mudah masuk ke dalam hati dan merosakkannya. Jiwa tidak ada pertahanan dan terdedah kepada bahaya.

Akhirnya, manusia hanyut dari hak dan kebenaran dan terperangkap dalam kelalaian dan kebatilan. Mereka tersasar dari jalan yang lurus. Mereka menjadi renggang dengan agama dan renggang dengan Tuhan. Inilah titik tolak bagi kemusnahan dan kehancuran hidup manusia. Dan inilah permata hikmah yang sudah semakin hilang di kalangan remaja kita hari ini iaitu RASA BERTUHAN dan RASA KEHAMBAAN.

2 comments: